Friday, February 28, 2014

MENGAPA PILIH AYAM KAMPUNG?

Antara kebaikan ayam kampung yang dapat diperolehi adalah, ayam kampung ini diternak melalui kaedah lepas atau free-range dimana ayam kampung akan menjadi lebih tahan lasak dan membesar secara semula jadi. Dengan itu, ayam-ayam kampung ini dapat menyerap segala nutrisi yang perlu untuk pembesaran yang sihat dan kesannya dapat memberikan ayam-ayam ini tumbesaran yang sihat, kurang berlemak dan bebas bahan kimia. Melalui cara ini, kita boleh memperolehi daging ayam kampung yang rendah kolesterol dan lemak, tetapi kaya dengan protein dan karbohidrat. Pembesaran ayam kampung tidak dipengaruhi oleh hormon pembesaran, di mana fungsinya untuk mempercepatkan pembesaran ayam untuk tujuan pengeluaran awal.

Selain itu, ayam-ayam kampung ini begitu aktif bergerak dan pergerakan otot yang aktif serta pengambilan makanan berunsur organik menghasilkan daging yang sedap dan berkhasiat tinggi. Ciri-ciri daging yang enak dan berprotein tinggi tanpa kolestrol ini menyebabkan harga ayam kampung di pasaran adalah tinggi berbanding dengan harga ayam daging komersial. Dagind ayam kampung ini juga agak liat, pejal dan manis berbanding dengan ayam daging komersial yang dijual di pasaran. Kandungan yang dimiliki oleh ayam kampung ialah 246 tenaga (kkal), 37.9 protein (gr), dan 9 lemak (gr). Dari segi nutrisi, ayam daging komersial lebih tinggi lemaknya berbanding ayam kampung. Ayam kampung juga kaya dengan kandungan mineral seperti kalsium, karbon, zat besi, fosfer, kalium, dan zinc serta mempunyai vitamin A dan B.

Tambahan lagi, ayam kampung ini tidak diberi sebarang suntikan bahan kimia seperti ayam daging di pasaran. Perkara ini jelas menggambarkan ayam kampung jauh lebih sihat berbanding ayam daging di pasaran, kebiasaannya ayam daging akan mula diproses pada usia 3-4 bulan. Berbeza pula dengan ayam kampung yang memakan masa lebih daripada itu untuk disembelih atau diproses. Ayam kampung ini dipelihara oleh masyarakat sebagai sumber protein haiwan yang baik dari segi daging atau telur ayam itu, bahkan najis atau kotorannya juga dapat dimanfaatkan sebagai baja tanaman mahupun makanan ikan. Oleh kerana itu, ayam kampung mestilah diiberi makanan yang secukupnya untuk mendapatkan keadaan ayam serta telur yang berkhasiat.


Disediakan oleh;
Noorhidayah